Audit
KUALA LUMPUR - Sembilan pejabat perwakilan Malaysia di luar negeri didapati tidak mematuhi sepenuhnya peraturan pengurusan aset danstor yang ditetapkan Kementerian Luar.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, pengauditan dijalankan di 10 pejabat perwakilan Malaysia, namun hanya satu pejabat yang mematuhi peraturan itu iaitu Kedutaan Besar Malaysia di Bucharest, Romania.

Sembilan pejabat yang gagal mematuhi peraturan itu ialah Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria; Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Ottawa, Kanada; Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Papua New Guinea dan Kedutaan Besar Malaysia di Algires, Algeria.

Pejabat yang lain ialah Kedutaan Besar Malaysia di Brasilia, Brazil; Kedutaan Besar Malaysia di Caracas, Venezuela; Kedutaan Besar Malaysia di Dili,Timor Leste; Kedutaan Besar Malaysia di Sarajevo, Bosnia dan Konsulat Jeneral Malaysia di Vancouver, Kanada.

"Kesemua sembilan pejabat perwakilan itu belum mematuhi sepenuhnya peraturan berkaitan urusan pendaftaran aset, pelabelan aset, penyimpanan aset, pemeriksaan aset, penyelenggaraan buku log kenderaan rasmi dan pelupusan," menurut laporan itu.