Audit KUALA LUMPUR - Prestasi pengurusan kewangan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi tahun 2013 adalah lebih baik berbanding dua tahun sebelumnya dengan peningkatan jumlah yang mendapat penarafan sangat baik (4 bintang).
  
Ketua Audit Negara Tan Sri Amrin Buang berkata sebanyak 194 kementerian, jabatan dan agensi mendapat penarafan itu (4 bintang) berbanding 143 pada tahun 2012 dan 111 pada 2011.
  
"Pencapaian ketara ini menunjukkan pelaksanaan Indeks Akauntabiliti (IA) memberi dorongan kepada pegawai untuk mengambil tindakan penambahbaikan terhadap pengurusan kewangan," katanya.
  
Beliau berkata demikian dalam kenyataan berhubung laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Tahun 2013 serta Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun dan Kerajaan-kerajaan Negeri Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat perkenaan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
  
Amrin berkata bagi Siri 3 sebanyak 62 pengauditan prestasi dan 22 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri.

"Pengauditan yang dilaksanakan merangkumi bidang pembinaan, penyelenggaraan, penguatkuasaan undang-undang, perolehan, pengurusan aset, pengurusan hasil cukai, program peningkatan sosioekonomi, pertanian, infrastruktur, teknologi maklumat dan komunikasi serta pengurusan syarikat," katanya.