- Gambar Hiasan 
KEPALA BATAS - Setiap seorang daripada 100 rakyat Malaysia dikesan menghidap penyakit mental, skizofrenia, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
  
Beliau berkata, situasi itu membimbangkan kerana pesakit skizofrenia boleh bertindak mencederakan diri sendiri dan orang lain.
  
"Semakin ramai rakyat Malaysia menghidap skizofrenia kerana pesakit dan masyarakat sekeliling tidak memandang serius masalah berkenaan selain enggan mendapatkan rawatan.
  
"Masalah kesihatan mental terutama penghidap skizofrenia tidak boleh dipandang ringan kerana jika tidak dirawat, mereka boleh bertindak mencederakan orang lain, ini sangat berbahaya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem I Want Sihat (KIS) sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2014 di sini, hari ini.
  
Skizofrenia ialah sejenis penyakit mental di mana pesakit mengalami gangguan perasaan, pemikiran, emosi dan tingkah laku yang menyebabkan mereka seolah-olah berada dalam dunia mereka sendiri.
 
Dr Hilmi berkata, masyarakat juga perlu membuang stigma bahawa pesakit mental tidak boleh diubati atau diberi perhatian yang sewajarnya.
  
Katanya, masalah berkaitan kesihatan dan penyakit mental perlu dibincang secara terbuka agar stigma terhadap isu itu dapat dikurangkan dan pesakit berkenaan tidak berasa malu untuk mendapatkan rawatan.