KUASA ALLAH sejak beberapa hari selepas Hari Raya Aidilfitri, Selangor dibasahi hujan lebat. Beberapa hari berikutnya juga hujan membasahi bumi dan cuaca terasa sejuk dan nyaman. Tetapi politik di Selangor panas membara.

Dua suasana yang berbeza dan kontra ini menyebabkan rakyat resah gelisah dan ada rasa tak tentu arah.

Kepanasan bahang politik itu semakin terasa apabila Menteri Besar (MB) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat oleh Lembaga Disiplin PKR. Tetapi kemudiannya kekal sebagai MB Selangor setelah mendapat perkenan Sultan Selangor. Isu MB Selangor terus panas membara apabila Abdul Khalid memecat enam Exco dari PKR dan DAP serta-merta. Pecat-memecat berlaku.

Manakala PKR menganggap pemecatan itu tidak beretika. Seterusnya, PKR dan DAP desak Pas memulaukan mesyuarat Exco. Selain itu, diberitakan Datuk Seri Hadi Awang gagal dipujuk dalam pertemuan antara PKR dan Pas.

Menambahkan lagi kepanasan politik Selangor apabila pada awalnya 15 Adun Pas menyokong Abdul Khalid, empat daripada Exco Pas bertugas macam biasa iaitu mengikut keputusan Majlis Syura. Selagi keputusan Majlis Syura itu tidak berubah mereka tetap menyokong Abdul Khalid.

Suasana bertambah panas lagi apabila BN dikatakan menyatakan pendirian menyokong Abdul Khalid untuk  terus menjadi MB dan menerajui Selangor. Sementara itu, Abdul Khalid failkan saman terhadap Malaysian Insider.

Bertambah panas lagi apabila ada pihak mengesyorkan bentuk kerajaan campuran di Selangor. Penyelesaian ini dapat mengelak pilihan raya semula yang mengorbankan dana dan wang rakyat yang banyak.

Terbaharu, menambahkan lagi panas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dakwa dapat sokongan majoriti 30 Adun menyokongnya selepas dua Adun Pas membuat pusingan U. Manakala Khalid cabar Azizah minta buktikan melalui undi tidak percaya di Dun Selangor. Pas tetap berkeras menolak Wan Azizah sebagai MB dan beri kata dua kepada dua Adun yang menyokong Wan Azizah.